Setinta Emas | Aluan Pengerusi SWADD

 

الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الكريم وعلى آله وأصحابه أجمعين

 

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat dan nikmatNya, Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat dan para tabi’in. Firman Allah SWT: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah Al-Asr: Ayat 1-3) Memulakan risalah ini, saya bersyukur kepada Allah SWT buat kali kedua SWADD dapat menerbitkan Buletin SWADD Julai 2017 – Disember 2018 untuk tatapan para jemaah sekalian.   Sesungguhnya SWADD sebagai sebuah Surau Diri Jumaat yang menjadi sebahagian daripada ikon wakaf utama Malaysia iaitu Menara Imarah Wakaf atau Menara Bank Islam telah berusaha untuk menjalankan fungsinya bukan hanya sekadar sebagai tempat solat bahkan sebagai pusat pembangunan rohani, keilmuan dan kebajikan kepada para Jemaah dan masyarakat di tengah-tengah kota kosmopolitan termasuk melangkaui sempadan negeri dan negara.  Aktiviti-aktiviti SWADD yang dianjurkan adalah bertujuan bagi memanjangkan manfaat wakaf (tauzi’ al-Waqf) yang telah mula dipelopori oleh Al-marhum Ahmad Dawjee Dadabhoy yang telah mewakafkan tanah ini kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Dengan bersumberkan kemurahan hati para jemaah yang menyumbangkan sumbangan khususnya setiap hari Jumaat dan sokongan pengurusan Bank Islam Malaysia Berhad, SWADD bukan sahaja dapat menyediakan fasiliti terbaik untuk keselesaan ibadah para jemaah; bahkan telah berjaya melaksanakan beberapa program berimpak tinggi dalam bulan Julai 2017 – Disember 2018. Antaranya mengambil berat mengenai pembentukan generasi pelapis kepimpinan dengan menganjurkan program Persidangan Remaja Uswah Kuala Lumpur dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Persidangan ini telah mengumpulkan hampir 100 orang pemimpin-pemimpin pelajar sekolah menengah di Kuala Lumpur. Program-program lain juga telah disemarakkan dan diperincikan dalam buletin. Dari aspek tata kelola dana awam, sesungguhnya Buletin SWADD yang ulung ini adalah satu usaha pendedahan dan pelaporan (disclosure and reporting) pengurusan dana yang diamanahkan kepada Jawatankuasa SWADD oleh para jemaah. Menutup bicara, saya mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa dan Pegawai SWADD merakamkan sejuta penghargaan kepada seluruh jemaah SWADD atas sumbangan dan sokongan dalam mengimarahkan SWADD serta usaha-usaha pelebaran manfaatnya kepada ummah melampaui sempadan Jalan Perak di ibukota ini. Semoga amalan ikhlas ini akan dituai hasilnya di akhirat kelak dengan penuh kegembiraan.

 

Haji Mohd Nazri Chik

Pengerusi SWADD