Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadhan & Watikah Pelantikan Ketua Amil & Amil Zakat Fitrah bagi tahun 2021 / 1442.

6 April 2021 - SWADD telah diwakili oleh Tuan Haji Shaffie Osman bagi menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadhan & Watikah Pelantikan Ketua Amil & Amil Zakat Fitrah bagi tahun 2021 / 1442 di Masjid WIlayah Persekutuan. Dalam majlis ini, YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, Menteri Agama telah menyampaikan mock cek sumbangan Ihya’ Ramadan kepada 790 buah masjid, surau jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak RM9.23 juta dana zakat diperuntukkan yang akan disalurkan seperti berikut:

a. RM15,000.00 kepada setiap masjid

b. RM12,500.00 kepada setiap surau jumaat; dan

c. RM11,000.00 kepada setiap surau biasa

Program Dapur It’am yang dimulakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada tahun lalu juga diteruskan pada bulan Ramadan tahun ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 juta kepada 24 buah masjid dan 46 buah surau yang terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

beliau turut mengumumkan tiga kadar zakat fitrah yang telah ditetapkan oleh MAIWP berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan iaitu kadar RM5.00 bagi meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan bagi menunaikan kewajiban zakat fitrah akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara. Dua lagi kadar RM7.00 dan RM14.00 yang ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras yang dimakan.

Selari dengan norma baharu, MAIWP turut memperkenalkan kaedah pembayaran secara dalam talian yang boleh di akses melalui laman web rasmi MAIWP www.maiwp.gov.my. Pelbagai platform pembayaran disediakan antaranya seperti ePay MAIWP, SnapNPay, e-wallet Boost, JomPAY dan juga melalui laman sesawang PPZ di fitrah.zakat.com.my. Setiap amil juga akan diberikan QR Code yang boleh diimbas untuk transaksi tanpa tunai.

Bagi jumlah peruntukan, program dan aktiviti keseluruhan melibatkan agensi-agensi agama di bawah Menteri di JPM sempena Ihya’ Ramadhan di seluruh negara, beliau akan umumkan dalam masa terdekat, insya-Allah.

#RamadhanPrihatin