Smart Solat

Mendidik Orang Asal Tentang Solat

Bengkel Smart Solat 2017

25 Mei 2017, Kahang, Johor - Pihak Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) diwakili oleh Ustaz Mohammad Faiz Ibrahim, Bendahari SWADD manakala Ustaz Yusof Assidiqqi dan Ustaz Muhammad Nazri selaku Pegawai Hal Ehwal Islam telah dijemput untuk mengendalikan Bengkel Smart Solat sempena Majlis Penyerahan Eco-Balai Rawatan di Kampung Orang Asal Pucur, Kahang anjuran Bank Islam, Universiti Teknologi Malaysia dan Institut Inovasi Strategik Johor.

Program setengah hari ini melibatkan hampir 20 keluarga. Pihak SWADD telah diberikan slot untuk mengendalikan bengkel solat bersama penduduk kampung tersebut. Bengkel dimulakan dengan penerangan tentang tatacara mengambil wuduk dan diteruskan dengan praktikal solat dengan lebih teliti. Seramai 20 orang penduduk tempatan telah menyertai bengkel ini Setiap peserta diberikan Buku Siri Panduan Hidup Muslim sebagai panduan untuk melaksanakan ibadah dalam kehidupan seharian.

 "Saya sangat seronok dapat menyertai bengkel ini dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan bagi memberikan pendedahan kepada penduduk kampung tentang cara dan kepentingan solat."

demikian ujar Tok Semanga yang merupakan Ketua Masyarakat Kampung Orang Asal Pucur.

Para peserta juga memberikan maklum balas yang baik dan seronok dengan penganjuran bengkel smart solat ini. Pihak SWADD mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana telah memberikan peluang untuk berbakti kepada masyarakat di Kampung Orang Asal Pucur, Kahang, Johor. Semoga ilmu yang diberikan dapat dimanfaatkan buat ummah.