SEMINAR PENGHAYATAN SURAH AL-FATIHAH & SOLAT (FALAH 2.0)

KUALA LUMPUR, 10 MAC - Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) telah berjaya menganjurkan program Seminar Penghayatan Surah Al-Fatihah & Solat 2018 (FALAH 2.0) dengan kerjasama Masjid Asy-Syakirin KLCC dan PNB Perdana On The Park Kuala Lumpur.

Seminar yang berlangsung di Dewan Seminar Pearl, PNB Perdana On The Park Kuala Lumpur ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kalangan jemaah dan orang awam. Seramai 100 peserta telah berdaftar dan menyertai seminar ini yang mengupas tajuk mengenai surah Al-Fatihah dan solat dengan menumpukan kepada pengkhususan tajuk tertentu. Sebanyak tiga slot pembentangan kertas kerja telah dibentang di dalam seminar FALAH 2.0 kali ini. 

Slot pembentangan kertas kerja dimulakan dengan tajuk “Panduan Solat Bagi Pesakit” yang dibentangkan oleh Ustaz Dr Mohammad Nizam Abdul Kadir. Antara isi utama yang ditekankan oleh Ustaz Dr Mohammad Nizam adalah berkenaan cara dan kaedah solat yang perlu dilaksanakan oleh pesakit ketika berada dalam situasi tertentu ketika sakit.

Pada sesi kedua, para peserta didedahkan mengenai “Solat Jama’, Qasar dan Dalam Permusafiran” yang disampaikan oleh Ustaz Firdaus Subhi. Beliau telah menerangkan pelbagai perkara yang perlu diambil perhatian oleh para peserta sebagai panduan dalam melaksanakan Solat Jama dan Qasar. Peserta sangat teruja dengan menumpukan sepenuh perhatian atas penyampaian yang diberikan oleh beliau dan memberikan pelbagai pertanyaan untuk merungkai permasalahan berkaitan.

Sesi pembentangan ketiga sebelah petang dirancakkan lagi oleh Ustaz Raihan Abd Aziz dari Shubbak Alami Sdn Bhd. Beliau telah menunjukkan cara bacaan Al-Fatihah yang betul melalui kertas kerja yang bertajuk “Tahsin Al-Fatihah Menggunakan Kaedah Bacaan Qiraat ‘Asim Riwayat Hafs-Toriq Al-Syatibi. Lantunan suara beliau yang jelas telah memberi galakan kepada para peserta untuk memperbaiki bacaan Al-Fatihah dan mengenalpasti tempat-tempat kebiasaan yang menjadi kesalahan ramai.

Majlis penutupan seminar FALAH 2.0 telah disempurnakan oleh Ustaz Haji Mohd Nazri Chik, yang merupakan Pengerusi Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD . Turut hadir sebagai tetamu kehormat dalam majlis penutupan ini ialah Tuan Zaid Jamaludin, Ketua Bahagian Pemasaran dan Komunikasi PNB Perdana On The Park Kuala Lumpur dan Ustaz Ahmad Rosidi Mohmad, Ketua Imam Masjid Asy-Syakirin Kuala Lumpur.

Di dalam ucapan perasmian, Ustaz Haji Mohd Nazri Chik mengucapkan tahniah kepada para peserta kerana dapat menghadiri seminar FALAH 2.0 ini walaupun tajuk yang dibincangkan ini nampak asas, tetapi diambil berat oleh para peserta. Tambah beliau lagi, program seperti ini adalah merupakan sebahagian daripada Tauzi’ al-Waqfi iaitu pengagihan manfaat daripada Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy kepada jemaah dan masyarakat. 

“Seminar yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian amanah dan tanggungjawab kepada kami Jawatankuasa SWADD untuk mengembalikan manfaat kepada para Jemaah”, demikian petikan ucapan Ustaz Haji Mohd Nazri Chik, Pengerusi SWADD.

Majlis perasmian penutup diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati. Pengerusi SWADD telah menyampaikan cenderahati kepada PNB Perdana dan Masjid Asy-Syakirin sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang dijalinkan. Pihak PNB Perdana dan Masjid Asy-Syakirin turut tidak melepaskan peluang untuk saling menyampaikan cenderahati kepada rakan-rakan penganjur atas kerjasama strategik yang telah dijalinkan. Diharapkan program seperti ini dapat dilaksanakan lagi untuk masa akan datang.