Seminar Penghayatan Surah Al-Fatihah & Solat (FALAH)

Wacana Ilmu Memugar Amal

KUALA LUMPUR, 4 MAC Buat julung-julung kalinya pihak Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) telah berjaya menganjurkan program Seminar Penghayatan Surah Al-Fatihah & Solat (FALAH) dengan kerjasama Masjid Asy-Syakirin KLCC dan Perpustakaan Kuala Lumpur.

Seminar yang berlangsung di Auditorium Elyas Omar, Perpustakaan Kuala Lumpur telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan jemaah dan orang awam.

Seramai 140 peserta telah berdaftar dan menyertai seminar ini yang mengupas tajuk mengenai rahsia surah Al-Fatihah dan solat. Sebanyak empat slot pembentangan kertas kerja telah dibentang di dalam seminar FALAH kali ini.

Slot pembentangan kertas kerja dimulakan dengan tajuk "Formula Sempurna Solat dan Kesalahan Biasa Dalam Solat" yang dibentangkan oleh Ustaz Shahrizan Daud At- Turabi. Antara isi utama yang ditekan oleh Ustaz Shahrizan adalah berkenaan cara dan kaedah solat yang sempurna serta menepati kehendak syariat dan sunnah Nabi SAW.

Pada sesi kedua, para peserta didedahkan mengenai "Rahsia Kelebihan Al-Fatihah Dalam Kehidupan Seharian" yang disampaikan oleh Ustaz Syaari Ab Rahman.

Beliau telah menerangkan pelbagai rahsia dalam setiap ayat surah Al-Fatihah sebagai pedoman dan panduan dalam kehidupan seharian. Peserta sangat teruja dan menumpukan sepenuh perhatian atas penyampaian yang diberikan oleh beliau.

Sesi pembentangan ketiga sebelah petang dirancakkan lagi oleh Ustaz Amirahman Abas yang merupakan Johan Qari, Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. Beliau telah menunjukkan cara bacaan Al-Fatihah yang betul melalui kertas kerja yang bertajuk "Praktikal Al-Fatihah dan Makna Tersirat Dalam Al-Fatihah". Lantunan suara beliau yang jelas dan lunak telah memberi galakan kepada para peserta untuk memperbaiki bacaan Al-Fatihah.

Sesi pembentangan kertas kerja kemuncak telah dikendalikan oleh Ustaz Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff yang bertajuk "Solat Membina Syaksiah Muslim". Beliau menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu ingin menjadikan syakhsiahnya baik, maka solat itu mesti dilaksanakan dengan berpandukan syariat islam.

Majlis penutupan seminar FALAH telah disempurnakan oleh Encik Mohd Nazam bin Harun yang merupakan Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Turut hadir dalam majlis penutupan ini ialah Ustaz Haji Mohd Nazri Chik, Pengerusi Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) dan Ustaz Ahmad Rosidi Mohmad, Ketua Imam Masjid Asy-Syakirin Kuala Lumpur.

"Terima kasih kepada para peserta yang menyertai seminar ini. Seminar ini adalah merupakan sebahagian daripada Tauzi’ al-Waqfi iaitu pengagihan manfaat daripada waqaf Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy kepada jemaah dan masyarakat. Jawatankuasa SWADD merasakan tanggungjawab untuk memberi makanan ilmu kepada akal jauh lebih penting daripada makanan fizikal. Banyak lagi seminar yang akan dianjurkan selepas ini dan diharapkan hadirin semua dapat menyertai lagi,"

demikian petikan ucapan aluan Ustaz Haji Mohd Nazri Chik, Pengerusi SWADD.

"Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sangat menyokong dengan program pembangunan rohani seperti Seminar FALAH ini. Hal ini kerana program-program pembangunan rohani memberi impak kepada pembangunan syakhsiah warga kota. Pihak DBKL berbesar hati dan bersedia untuk bekerjasama lagi dengan pihak SWADD dan Masjid Asy-Syakirin dalam penganjuran program akan datang,"

ujar Encik Mohd Nazam Harun dalam ucapan perasmian penutup.

Majlis perasmian penutup diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati. Pengerusi SWADD telah menyampaikan cenderahati kepada Perasmi dan Masjid Asy-Syakirin sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang dijalinkan. Pihak Perpustakaan Kuala lumpur yang diwakili oleh Encik Mohd Nazam bin Harun turut menyampaikan cenderahati balas kepada Pengerusi SWADD dan Ketua Imam Masjid Asy-Syakirin. Semoga program seperti ini dapat dilaksanakan lagi untuk masa akan datang.