Perkongsian Inspirasi Dakwah

Lawatan SWADD ke IPSI, Pulau Pinang

7 Februari 2017 - Pengurusan SWADD telah mengadakan lawatan kerja ke Islamic Propagation Society International (IPSI) Pulau Pinang dan Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang bagi mempelajari pengalaman dan inspirasi dalam pengurusan kerja-kerja dakwah kepada pelancong-pelancong non-muslim.

Rombongan ini diketuai oleh Pengerusi SWADD, Haji Mohd Nazri Chik diikuti oleh Setiausaha SWADD, Ustaz Mohd Juzaili Juhan, Bendahari SWADD, Ustaz Mohamad Faiz Ibrahim, Pegawai-pegawai SWADD, Ustaz Abdulhadi Ab Rahman dan Ustaz Muhammad Syazwan Hamzah.

Turut serta dalam rombongan lawatan kerja ini ialah Ustaz Ahmad Rosidi Mohmad, Ketua Imam Masjid Asy-Syakirin, KLCC dan Ustaz Mohd Faisal Tan Mutallib, Ketua Imam Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur.

Rombongan diberi taklimat mengenai sejarah, aktiviti dan kejayaan IPSI yang telah beroperasi sejak 1995 oleh Tuan Haji Kamarudin Abdullah yang merupakan Pengasas dan Presiden IPSI. Di samping itu, rombongan turut dibawa melawat premis IPSI yang terdiri daripada 4 tingkat mempunyai mini perpustakaan, kedai buku, auditorium, pejabat, kelas, bilik kaunseling, taman dan surau.

"Antara rahsia kejayaan IPSI ialah kami menekankan aspek istiqamah dalam gerak kerja dan menjaga kualiti kerja dengan slogan 'Jannah Class' di samping keberkatan sumbangan infaq masyarakat Islam yang ikhlas daripada pelbagai peringkat memberi kekuatan kepada kami untuk tidak berputus asa dalam kerja-kerja dakwah kepada non-Muslim. Ini adalah amanah yang besar kepada kami."

Ujar Tuan Haji Kamarudin Abdullah, Presiden IPSI.

Bersempena dengan lawatan kerja SWADD ke IPSI, Majlis Penyerahan Buku Panduan Hidup Muslim sebanyak 200 naskah yang dicetak oleh SWADD telah diadakan yang disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Nazri Chik selaku Pengerusi SWADD.

Buku Panduan Hidup Muslim terdiri daripada 5 buah iaitu 'Tatacara Solat dan Wudhuk', 'Panduan Berkaitan Solat Musafir', 'Panduan Berkaitan Puasa Ramadan', 'Adab Berqiamullail' dan 'Koleksi Doa dan Zikir'. Buku-buku tersebut adalah untuk edaran percuma kepada masyarakat.

Rombongan SWADD telah dibawa oleh Tuan Haji Kamarudin Abdullah, Presiden IPSI melawat Masjid Kapitan Keling dan Pusat Informasi Islam kendalian pihak IPSI yang terletak di bawah menara masjid.

Pelancong-pelancong yang melawat ke Masjid Kapitan Keling akan diberi penerangan oleh sukarelawan IPSI mengenai masjid, wudhuk, solat dan Islam. Pelancong-pelancong yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Islam akan dibawa ke Pusat Informasi Islam dan akan dihadiahkan buku-buku tentang Islam serta terjemahan Al-Quran.

"Lawatan ini sangat memberi inspirasi kepada kami selaku institusi masjid dan surau jumaat yang terletak di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur dalam memperkasa peranan masjid yang menjadi tumpuan pelancong non-muslim di samping menjalankan amanah terhadap sumbangan infaq daripada jemaah."

Demikian ucapan aluan daripada Tuan Haji Mohd Nazri Chik, Pengerusi SWADD.