Majlis Khatam Al-Quran SWADD

Al-Quran Penyubur Jiwa

21 Jun 2017 | Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran baru-baru ini. Majlis ini adalah penutup kepada halaqah tadarus Al-Quran yang berlangsung sepanjang Ramadan di SWADD di samping bagi meraikan 24 orang peserta halaqah tadarus Al-Quran yang istiqamah mengimarahkan SWADD dengan bacaan Al-Quran.

Sebanyak 3 halaqah tadarus Al-Quran bagi jemaah muslimin telah diwujudkan dan dibimbing oleh Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Islam SWADD iaitu Ustaz Abdulhadi Bin Ab Rahman, Ustaz Muhammad Syazwan Bin Hamzah dan Ustaz Yusof Assidiqqi Bin Ahmad Sharkawi. Manakala 1 halaqah tadarus Al-Quran bagi jemaah muslimat telah dibimbing oleh Ustazah Huda Binti Nordin, Timbalan Pengurus, Bahagian Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad.   
Majlis Khatam Al-Quran yang dianjurkan setiap tahun pada bulan Ramadan ini telah mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada jemaah SWADD. Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah sehingga surah an-Nas dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Yusof Assidiqqi Bin Ahmad Sharkawi. Turut hadir dalam majlis ini ialah Ustaz Haji Mohd Nazri Bin Chik, Pengerusi SWADD, Ustaz Mohd Juzaili Juhan, Setiausaha dan Puan Hajjah Azizah Binti Abd Aziz, Ahli Jawatankuasa.

“Saya mewakili jawatankuasa SWADD mengucapkan terima kasih kepada semua jemaah yang telah menyumbang dalam usaha menjayakan setiap aktiviti yang dilaksanakan. Semoga selepas daripada Ramadan ini kita berjaya memperbanyakkan amalan-amalan yang meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan terus istiqamah membaca Al-Quran sebagai penyubur jiwa.”

Demikian ucapan aluan daripada Pengerusi SWADD, Ustaz Haji Mohd Nazri Bin Chik.

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada para peserta yang telah disampaikan oleh Puan Hajjah Azizah Binti Abd Aziz kepada wakil halaqah tadarus muslimat manakala Ustaz Haji Mohd Nazri Bin Chik telah menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada setiap wakil halaqah tadarus muslimin.  Pihak SWADD mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.