Kursus Pengurusan Jenazah 2017

TINGKATKAN ILMU DAN KEMAHIRAN PRAKTIKAL URUS JENAZAH

Kg. Batu Muda, Sabtu, 20 Mei - Memberi pengetahuan kepada umat Islam setempat mengenai pengurusan jenazah yang merupakan tuntutan fardhu kifayah dalam agama, pihak Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah dengan kerjasama Masjid Asy-Syakirin KLCC dan Masjid Saidina Hamzah, Kg Batu Muda, Kuala Lumpur.

Kursus ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Masjid Saidina Hamzah, Kg Batu Muda berjaya menarik minat 90 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat di kalangan muslimin dan muslimat.

Antara objektif penganjuran kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat Islam tentang kepentingan mengetahui cara pengurusan jenazah, kaedah pengurusan yang betul, memberi kesedaran serta memenuhi tuntutan fardhu kifayah dalam menjalani kehidupan seharian.

Majlis perasmian Kursus Pengurusan Jenazah telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Juzaili Juhan, Setiausaha Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ustaz Ahmad Rosidi Mohmad, Ketua Imam Masjid Asy-Syakirin KLCC dan Ustaz Mohammad Shukeri Yaacob, Ketua Imam Masjid Saidina Hamzah.

“Pengurusan Jenazah ini nak mengajar kita bahawasanya hidup dan mati kita ini sangat memerlukan orang lain. Betapa lemahnya kita ini sebagai manusia, walaupun dimuliakan dengan akal yang hebat, tetapi kita sangat bergantung kepada orang, sangat memerlukan bantuan orang. Maka saat kita mati, kita memerlukan orang lain untuk memandikan jenazah kita, solat jenazah kita, dan siapakah yang menggerakkan hati-hati orang untuk solat jenazah kita, kalau bukan Allah SWT. Untuk dapatkan husnul khatimah itu, maka masa hiduplah kena dekatkan diri kepada Allah dan berbuat baik kepada manusia kerana di akhir kehidupan, kita memerlukan pertolongan manusia, maka janganlah kita sombong, bongkak dan takabbur dengan manusia lain”,

demikian petikan ucapan perasmian Ustaz Mohd Juzaili Juhan, Setiausaha SWADD.

Majlis perasmian diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati. Setiausaha SWADD telah menyampaikan cenderahati kepada wakil Masjid Asy-Syakirin dan Masjid Saidina Hamzah sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang telah dijalinkan. Semoga program seperti ini dapat dilaksanakan lagi untuk masa akan datang.

Semasa berkursus para peserta mengikuti ceramah dan praktikal seperti Pengurusan Jenazah (Teori), Pengurusan Jenazah (Praktikal memandikan jenazah), Pengurusan Jenazah (Mengkafankan jenazah), Pengurusan Jenazah (Solat jenazah) dan Pengurusan Jenazah (Pengkebumian) yang telah dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Rafieudin Zainal Rasid yang merupakan Pengurus Jenazah Hospital dan Masjid di Wilayah dan Selangor.

Kursus Pengurusan Jenazah ini berakhir jam 4.30 petang dengan sesi fotografi, penyampaian sijil dan minum petang. Pihak SWADD merakamkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang terlibat dalam menjayakan kursus ini.