18 November 2017, Sabtu | “Pengalaman yang paling berharga, satu input yang baru”, rata-rata respon seperti ini datang dari peserta Kursus Interaksi Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk (KIND ’17) Siri 3 yang sangat memberangsangkan dan sangat positif. Kelainan pada kali ini adalah para peserta diberikan tanggungjawab dan tugasan untuk melaksanakan praktikal Street Dakwah atau dinamakan Dakwah Jalanan di Taman KLCC.
Program ini adalah kesinambungan daripada KIND ’17 Siri 1 dan 2 yang menekankan aspek teori dan pembelajaran di dalam dewan. Maka, pada siri 3 ini, para peserta telah diberikan pendedahan dan pengalaman untuk beraksi di medan yang sebenar.
Pada sebelah pagi, para peserta berkumpul di Dewan Solat Utama, Masjid Asy-Syakirin KLCC untuk sarapan, sesi taklimat dan penerangan teknik Dakwah Jalanan daripada Tuan Haji Kamarudin Abdullah sebelum para peserta bergerak ke Taman KLCC. Tuan Haji Kamarudin Abdullah berkongsi pengalaman beliau dalam medan dakwah ini dan mengajar teknik yang sesuai dalam berinteraksi dengan para pelancong luar dan dalam negara.
Selesai sesi taklimat, setiap peserta diberikan sebanyak 20 cenderahati yang merangkumi kertas soal selidik, risalah mengenai Al-Quran, Islam dan Nabi Muhammad SAW serta gula-gula. Mereka diberikan tugasan supaya dapat menyerahkan semua cenderahati tersebut kepada non muslim dan dalam masa yang sama sebagai satu praktikal berdakwah dalam medan yang sebenar.
Pada sesi petang, para peserta berkumpul di Dewan Titiwangsa, Hotel Putra Kuala Lumpur untuk slot perkongsian pengalaman dan majlis penutup. Hasilnya, para peserta memberi respon yang positif dan sangat berpuas hati dengan tugasan mereka walaupun baru kali pertama terlibat secara langsung dalam aktiviti dakwah jalanan ini. Tuan Haji Kamarudin Abdullah sangat berbangga dan mengucapkan jutaan tahniah kepada para peserta yang berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan tugasan tersebut dan berterima kasih kepada SWADD di atas penganjuran program yang sangat bermanfaat untuk ummah.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Haji Kamarudin Abdullah atas kesudiaan bekerjasama dengan SWADD dalam menjayakan program KIND ’17 sebanyak tiga siri walaupun beliau sangat sibuk dengan aktiviti dakwah di dalam dan luar negara. Semoga segala masa, tenaga dan kerja-kerja yang dicurahkan ini menjadi saham untuk memberatkan timbangan amal kita semua di akhirat nanti. Insya Allah SWADD akan menyusun program seperti ini pada masa akan datang.” ujar Ustaz Mohd Juzaili Juhan, Setiausaha SWADD dalam ucapan majlis penutup. Program berakhir dengan sesi bergambar beramai-ramai.