Kursus Interaksi Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk (KIND '17)

BERDAKWAH SEBAHAGIAN DARIPADA SUNNAH

Kursus Interaksi Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk-Siri 1 (KIND) 2017

 

29 Julai 2017 | Buat julung kalinya Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) telah menganjurkan Kursus Interaksi Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk (KIND ’17) Siri 1 yang berlangsung di Hotel Putra, Kuala Lumpur. Kursus yang berlangsung selama setengah hari ini telah disertai oleh 30 orang di kalangan jemaah SWADD serta pelajar institut pengajian tinggi. Kursus ini akan diadakan sebanyak 3 siri meliputi aspek teori dan praktikal.

Pengisi utama dan penceramah bagi kursus ini ialah Tuan Haji Kamarudin Abdullah yang merupakan Presiden Islamic Propagation Society International (IPSI) atau dikenali juga Pusat Penyebaran Islam Antarabangsa. Beliau adalah merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang dakwah terutamanya kepada non-muslim di peringkat kebangsaan dan antarabangsa selama 30 tahun dan mendapat pengiktirafan daripada guru beliau Syeikh Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Haji Mohamad Faiz Ibrahim, Bendahari SWADD pada sebelah paginya. Dalam ucapannya, beliau menyebut “Pada hari ini kita merancang untuk mengadakan dahulu Kursus Interaksi Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk siri yang pertama dan akan disusuli dengan dua siri yang selanjutnya pada masa akan datang. Dalam masa yang sama, cita-cita kami untuk mewujudkan pusat rujukan kefahaman islam di tengah-tengah KL dapat direalisasi pada masa akan datang.”

Sebanyak 2 kertas kerja telah dibentangkan oleh Tuan Haji Kamarudin, pertamanya “Dakwah Non Muslim: Hikmah dan Tuntutannya” yang menekan aspek kepentingan dan keperluan dalam dakwah non muslim berdasarkan contoh daripada sirah hidup Baginda Nabi SAW ketika awal-awal permulaan Islam. Ia sebagai satu motivasi kepada orang muslim untuk menyampaikan keindahan agama Islam kepada non muslim.

Kertas kerja kedua pula dengan tajuk “Salah Faham Terhadap Islam” menjelaskan kepada peserta tentang rintangan, halangan dan ujian yang berat akan dilalui oleh para pendakwah. Hal ini disebabkan masih terdapat persepsi negatif di kalangan non muslim terhadap Islam dengan propaganda dan agenda jahat musuh Islam untuk menakutkan non muslim untuk mendekati agama Islam. Sedangkan hakikatnya, Islam adalah cara hidup yang membawa rahmat untuk semua.

Para peserta turut mengambil kesempatan dan peluang untuk mengajukan pelbagai persoalan dan menimba pengalaman daripada Tuan Haji Kamaruddin. Rata-rata para peserta amat berpuasa hati dengan syarahan dan pencerahan daripada beliau. Pada akhir kursus, para peserta telah diberikan sijil penyertaan seterusnya Ustaz Mohd Juzaili Juhan, Setiausaha SWADD telah menyampaikan cenderahati kepada Tuan Haji Kamaruddin sebagai tanda penghargaan. Semoga kursus ini sedikit sebanyak dapat memberi saham dalam perkembangan dakwah di Malaysia.