Konvensyen Imarah Masjid Serantau 2017

Memacu Imarah Membina Ummah

04 Mei 2017, Khamis | Buat julung-julung kalinya Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) dan Bank Islam Malaysia Berhad dengan Kerjasama Sekretariat Dakwah Korporat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Konvensyen Imarah Masjid Serantau 2017.

Konvensyen yang berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur ini telah dimeriahkan dengan kehadiran para pentadbir-pentadbir masjid seluruh Malaysia dan tetamu jemputan seramai 451 orang.

Konvensyen telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, Encik Khairul Kamarudin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Islam Malaysia Berhad dan Ustaz Haji Mohd Nazri Chik, Ketua Pegawai Syariah Bank Islam merangkap Pengerusi SWADD.

Konvensyen ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pengurusan masjid dan surau memimpin organisasi mereka bagi memberikan khidmat dan fungsi terbaik kepada ummah. Konvensyen yang bertemakan “Memacu Imarah Membina Ummah” ini juga menjadi platform bagi percambahan idea serta pemikiran para cendiakawan Islam yang hadir dari pelbagai lapangan dan negara dalam memastikan institusi Masjid dan Surau yang sedia ada terus diperkasa dan diperkembangkan.

Konvensyen ini dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Abdul Manaf Haji Mat, Imam Besar Masjid Putra dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Ustaz Haji Mohd Nazri Chik.

Majlis perasmian konvensyen ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri dan dalam ucapannya beliau menyatakan;

“Saya mengucapkan tahniah atas penganjuran konvensyen ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat kita dari Indonesia, Singapura dan Brunei Darus Salam kerana dapat hadir untuk sama-sama kita berkongsi pendekatan yang terbaik dalam kita menunjukkan model masjid yang disebutkan di dalam Al-Quran iaitu Masjid sebagai pusat untuk kita membina ketaqwaan, yang harus difahami dalam konteks taqwa yang lebih luas. Dan saya kira ini merupakan satu permulaan yang baik dan mungkin selepas ini boleh diteruskan di negeri-negeri lain yang kita harap masjid-masjid di Wilayah Persekutuan boleh menjadi model kepada program dan aktiviti yang dijalankan dengan bekerjasama dengan majlis-majlis agama Islam negeri lain.”

YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi juga telah melancarkan “e-Masjid” iaitu platform yang dibangunkan oleh Bank Islam bagi memudahkan pengurusan kewangan masjid dan surau melibatkan rekod, pengurusan tunai dan pembayaran dengan lebih mudah dan sistematik.

Tiga (3) kertas kerja dibentangkan seperti berikut:

  1. “Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM): Menilai Masjid Terbaik” oleh Prof. Madya Dr. Mohd Aderi bin Che Noh, Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

  2. “Pembangunan Ekonomi Ummah: Potensi Masjid” oleh Ustaz Haji Mohd Nazri Chik.

  3. “Pengimarahan Masjid di Malaysia: Prestasi dan Peranan Kepimpinan”oleh Ustaz Haji Paimuzi Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Pada sesi petang, pentas konvensyen ini dirancakkan lagi dengan slot Forum Inspirasi yang dikendalikan oleh Encik Wan Kamaruddin Wan Ibrahim, Penerbit Program Imarah Masjid, Astro Oasis selaku moderator forum. Pentas bicara yang menfokuskan perkongsian aktiviti dan pembangunan masjid dari 4 negara nusantara ini telah mendapat perhatian yang menarik daripada para hadirin. Antara ahli panel yang terlibat adalah wakil Brunei,Tuan Haji Jufle bin Haji Mega, Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam, wakil Singapura iaitu Dr Suhaimi Mustar yang merupakan Pengerusi Masjid Assyakirin, Singapura dan wakil Indonesia, Tuan Haji Zulyadaini, mewakili Masjid Agung Madani Centre (MAMIC), Riau, Indonesia. Manakala wakil dari Malaysia adalah Tuan Haji Yassim Mohamed yang mewakili Masjid As-Salam Punchong Perdana, Selangor dan Tuan Haji Hussein bin Ismail, mewakili Masjid Bandar Baru Uda, Johor Bharu, Johor.

Konvensyen diakhiri dengan pembentangan resolusi yang telah dibacakan oleh Ustaz Haji Mohd Nazri Chik. Beliau membentangkan 8 Resolusi yang telah dipersetujui bagi tujuan pengimarahan masjid dan surau. Majlis penutupan konvensyen ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Zainal Abidin Jaffar, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Beliau sangat bersyukur konvensyen ini telah berjaya dilaksanakan dan sampai ke penghujungnya serta berharap para hadirin membawa pulang semangat dan inspirasi dalam konvensyen ini bagi memberikan khidmat terbaik di masjid dan surau.

Semoga program ini memberi impak yang besar dalam pengimarahan masjid dan surau seterusnya membangun ummah.