Kem Cuti Sekolah SUPER MUSLIM 2017

KEM SUPER MUSLIM : MENDIDIK GENERASI MUDA BERJAYA

15 Disember 2017, Jumaat | Sekali lagi Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) telah berjaya menganjurkan program sempena cuti sekolah akhir tahun iaitu Kem Super Muslim SWADD pada 12 – 15 Disember 2017. Kem tersebut telah diadakan di Dewan Besar, tingkat 10, Menara Bank Islam, Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh Perunding Latihan CSQ Training & Consultancy bagi mengisi masa cuit mereka dengan aktiviti yang bermanfaat dan menambah ilmu-ilmu yang baru.

Pada kali ini,pihak SWADD mencuba satu pendekatan yang baru iaitu konsep balik hari selama 4 hari tanpa bermalam di tempat program. Kem ini telah disertai seramai 17 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak jemaah SWADD yang berumur dalam lingkungan 13 – 17 tahun. Pihak CSQ Training & Consultancy membawa satu modul iaitu The Chosen One untuk diterapkan kepada para peserta yang hadir.

Modul The Chosen One ini terdiri daripada pelbagai modul dan aktiviti, antaranya Brainstorming Isu Sosial, Solat Training Course, Run Against Time, Ice Breaking dan sesi memanah sekaligus memberikan pendedahan dan input yang sangat berguna kepada para peserta. Modul-modul ini dikendalikan oleh Ustaz Amir Mohamad Ahmad Tajudin selaku Jurulatih Motivasi Remaja CSQ Training & Consultancy.

Antara slot yang paling menarik dan menyentuh perasaan adalah parenting slot yang menggabungkan para peserta bersama ibu bapa mereka. Ia sebagai satu motivasi dan peransang kepada peserta agar menjadi anak yang baik dan berbakti untuk ibu bapa kelak seterusnya berjaya dalam pelajaran dan mencapai cita-cita yang diimpikan.

Majlis persamian penutup Kem Super Muslim SWADD oleh Ustaz Haji Mohd Nazri Chik, Pengerusi SWADD merangkap Ketua Pegawai Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ustaz Haji Mohd Faiz Ibrahim, Bendahari SWADD, Ustaz Amir Mohamad Ahmad Tajudin, Jurulatih Motivasi Remaja CSQ Training & Consultancy, Ustaz Yususf Assidiqqi Ahmad Sharkawi dan Ustaz Muhammad Syazwan Hamzah, Pegawai Hal Ehwal Islam SWADD.

Dalam majlis penutup tersebut, antara pesanan Ustaz Haji Mohd Nazri Chik adalah, “ Yang pasti kita perlu ingat, dia menjadi hebat kerana dia ada cita-cita dan ada kemahuan untuk berjaya dan dia telah melalui proses untuk sampai ke situ tapi kalau yang cita-cita pun tiada dan usaha pun tiada, dia akan selama-lamanya akan duduk di lembah, “ kata-kata motivasi beliau dalam majlis perasmian penutup. Tambah beliau lagi “ yang paling utama sekali di zaman Islam tercabar ini, masa depan berada di dalam tangan kita (kelompok muda), kita yang menentukan masa depan ummah samada Islam yang hebat ke, Islam yang dihina ke, masyarakat yang macam mana, semua itu terletak di tangan kita. Jika kita tidak bertindak, maka kita akan tetap tinggal di lembah” .

Pada penghujung masjli penutup, Ustaz Haji Mohd Nazri Chik diiringi Ustaz Amir Mohamad telah menyampaikan cenderahati kepada para peserta beserta sijil penyertaan. Beliau juga turut menyampaikan plak cenderahati SWADD kepada Ustaz Amir Mohamad Ahmad Tajudin selaku wakil CSQ Training & Consultancy kerana berjaya mengendalikan kem dengan jayanya.