Kelas Fardhu Ain Anak-anak Gelandangan

Sumbangan SWADD Prihatin Ummah

22 Jun 2017 | Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) diwakili oleh Ustaz Haji Mohd Nazri Chik, Pengerusi dan Ustaz Mohd Juzaili Juhan, Setiausaha telah dijemput menghadiri Majlis Pelancaran Kelas Bimbingan Tauhid, Feqah dan Al-Quran serta Penyerahan Sumbangan Raya untuk anak-anak gelandangan di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang teletak di Lorong Haji Husin 2, Off Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.

Kelas fardhu ‘ain ini dikendalikan oleh Pertubuhan Kebajikan Pelajar Qari dan Qariah Malaysia (PERQAM) dengan kerjasama SBJK dan telah bermula sejak bulan April 2017 bagi membantu 150 anak-anak gelandangan peringkat rendah dan menengah yang masih ketinggalan dari segi ilmu asas Tauhid, Feqah dan Al-Quran. Kelas ini dijalankan pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat bermula jam 2:00 hingga 4:00 petang dengan bimbingan 4 orang fasilitator.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

"Anak-anak yang belajar di sekolah ini adalah merupakan anak-anak yang hebat. Mereka boleh mengharungi cabaran hidup yang getir dengan latar belakang keluarga yang rumit di tengah-tengah kota raya. Usahlah kita mengabaikan mereka kerana mereka juga ada masa depan. Moga kelas bimbingan agama ini dapat menjadi benteng kepada mereka dalam melakar masa depan mereka yang lebih baik.”  

ujar YB Dato’ Mas Ermieyati dalam ucapan perasmiannya. Turut hadir dalam majlis ini ialah Tuan Haji Hairulfazli Mohammad Som, Pengerusi PERQAM dan Encik Zulkernai Fauzi, Guru Besar/Pengetua SBJK.

Ustaz Haji Mohd Nazri Chik, Pengerusi SWADD telah menyerahkan replika cek berjumlah RM10,000 kepada Pengerusi PERQAM dengan disaksikan oleh YB Dato’ Mas Ermieyati sebagai tanda sumbangan SWADD dalam membantu menjayakan perjalanan kelas fardhu ‘ain ini. Sumbangan ini adalah bertujuan bagi memanjangkan sumbangan daripada jemaah SWADD untuk manfaat ummah. 

Tetamu-tetamu yang hadir telah dibawa melawat ke kelas-kelas fardhu ‘ain untuk meninjau perjalanan dan aktiviti kelas serta beramah mesra dengan pelajar-pelajar. Setelah itu, diadakan penyerahan sumbangan baju raya dan duit raya kepada pelajar-pelajar dan Ustaz Haji Mohd Nazri Chik turut menyampaikan buku Panduan Hidup Muslim terbitan SWADD kepada setiap pelajar SBJK. Semoga kerjasama strategik ini dapat memberi impak kepada pendidikan agama anak-anak gelandangan agar menjadi insan yang bermanfaat untuk agama dan negara.