DAURAH KITAB SIFAT ASAS 20

11 Januari 2020 - SWADD telah berjaya menganjurkan program Daurah Kitab Siri 1 yang mengupas Kitab Sifat 20, Suatu Pengenalan Asas bersama dengan Ustaz Muhadir Hj Joll. Seminar yang berlangsung di Dewan Solat Utama SWADD, Menara Bank Islam ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kalangan jemaah dan orang awam. Seramai 70 peserta telah berdaftar dan menyertai daurah ini yang mengupas bidang Aqidah dengan menumpukan kepada perbahasan Sifat 20. Sebanyak tiga bahagian telah dibahas dalam diskusi kitab ini. Bahagian pertama dimulakan dengan menjelaskan perbandingan diantara Ahlus Sunnah Wal Jama’ah dengan golongan Mu’aththilah dan Musyabbihah. Seterusnya menghuraikan 3 ciri mengenal Allah, sejarah serta penyusun Sifat 20 dan Sifat 20 sebagai cara mengenal Allah. Pada sesi kedua, para peserta didedahkan mengenai makna sifat Nafsiyyah, Salbiyyah, Ma’ani dan Ma’nawiyyah. Ustaz Muhadir juga menerangkan makna Sifat Ma’ani secara terperinci dan peserta sangat teruja dengan menumpukan sepenuh perhatian atas penyampaian yang diberikan oleh Ustaz Muhadir.

Sesi ketiga sebelah petang dirancakkan lagi dengan kupasan dan huraian ringkas Sifat 20 serta pendekatan Salaf dan Khalaf terhadap nas-nas mutasyabihat. Peserta turut memberikan beberapa persoalan yang berkisar dengan perbahasan tersebut. “Memiliki Aqidah yang sebenar adalah suatu yang sangat berharga, yang akan menyelamatkan orang yang memilikinya daripada kekal di dalam neraka” demikian petikan dan pesanan Ustaz Muhadir Hj Joll kepada para peserta Daurah Kitab Siri 1.0. Beliau juga turut menekankan pengajian tentang Aqidah ini perlu dilaksanakan di semua peringkat umur. Turut hadir di dalam program daurah ini Ustaz Mohd Juzaili Juhan, Setiausaha SWADD dan Puan Siti Suryati Sujak, Ahli Jawatankuasa SWADD.