Bengkel Smart Solat 2017

SOLAT MEMBENTUK SYAKHSIAH MUSLIM

17 Jun 2017 | Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) diwakili oleh Ustaz Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi, Pegawai Hal Ehwal Islam SWADD telah dijemput untuk mengendalikan Bengkel Smart Solat sempena Program Semarak Ramadan di 18 RAMD (PARA), Kem Sri Pantai, Kuala Nerus, Terengganu anjuran BIMB Holdings Berhad, Berita Harian & Tentera Darat Malaysia.

Bengkel ini yang bermula jam 11:00 pagi hingga 12:30 tengah hari telah disertai oleh 22 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak tentera darat di kem berkenaan yang berumur sekitar 3-6 tahun. Program ini bertujuan untuk mendedahkan kepada para peserta mengenai ilmu fardu ain agar dapat melaksanakan ibadat dengan lebih sempurna berdasarkan sunnah Rasulullah SAW.

Antara fokus utama bengkel adalah motivasi ibadah, kesempurnaan toharah (bersuci) dan kesempurnaan solat. Peserta telah dibimbing secara teori dan praktikal berdasarkan mazhab Imam al-Syafi’i serta disemak bacaan surah al-Fatihah, doa-doa dan zikir-zikir dalam solat.

“Anak-anak kecil ini ibarat kain putih. Sebagai ibu dan bapa, kita perlu mencorakkan mereka dengan amalan-amalan yang ada dalam Islam. Selesaikan perkara-perkara yang berkaitan dengan kerfardhuan. Jadikan mereka orang yang menjaga solat dengan baik. Insya Allah, solat akan membentuk syakhsiah mereka sebagai seorang muslim yang baik dan kehidupan mereka akan sentiasa diberkati Allah SWT.”

demikian ujar Ustaz Yusof setelah selesai bengkel.

Secara keseluruhannya, peserta sangat berpuas hati dan gembira kerana dapat mempelajari ilmu fardu ain dengan betul dan tepat serta dapat memahami teknik-teknik yang tepat berkaitan dengan toharah (bersuci) dan pergerakan dalam solat. Semoga pengisian ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para peserta dan terus diamalkan dalam kehidupan seharian serta menjadi bekalan dalam melaksanakan ibadat seharian.

Pada sebelah malam pula, Ustaz Yusof telah memimpin Solat Isyak dan Tarawih bersama anggota tentera di Masjid Al-Ansor di Kem Sri Pantai, Kuala Nerus. Antara tetamu yang turut hadir solat bersama ialah Panglima Medan Barat Tentera Malaysia ,YBhg, Lt General Datuk Azizan Mat Delin, SS Ustaz Ahadi Othman Timbalan Mufti Terengganu, Encik Mohamad Azlan Mohamad Alam, Ketua Pegawai Operasi BIMB dan Datuk Badrulhisham Othman, Timbalan Ketua Editor NSTP.

Pihak SWADD mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur atas kepercayaan yang telah diberikan kepada SWADD dalam mengendalikan Bengkel Smart Solat.