Bantuan Persekolahan Pelajar Asnaf Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu

16 November 2017, Khamis - Buat kesekian kalinya Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu telah mengadakan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Asnaf Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung di Dewan SK Kampung Bharu telah dimeriahkan dengan kehadiran ibubapa, para pelajar dan para guru. Majlis ini telah disempurnakan oleh Puan Siti Suryati binti Abu Sujak, Ahli Jawatankuasa (AJK) SWADD sebagai wakil kepada Pengerusi SWADD.

Program ini adalah rentetan daripada program yang dilaksanakan tahun lepas yang bertujuan untuk membantu para pelajar asnaf membuat persiapan persekolahan tahun hadapan. Seramai 100 orang yang terpilih daripada tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu, Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda dan Sekolah Pendidikan Khas.

Setiap pelajar telah menerima bantuan berupa dua set pakaian sekolah, dua pasang kasut, dua helai traksuit, satu beg sekolah dan satu set lengkap alat tulis. Sumbangan bantuan persekolahan ini adalah sepenuhnya ditaja oleh pihak SWADD.

Dalam ucapan aluan, Guru Besar SK Kampung Bharu, Puan Hajah Siti Zaini Idris menyatakan harapan yang tinggi kepada para pelajar agar menghargai pemberian orang ramai dan pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Ia membuktikan bahawasanya wujud permuafakatan antara pihak SWADD dan sekolah dalam membantu para pelajar asnaf serta berharap akan dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang.

Manakala dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh Puan Siti Suryati Abu Sujak menyebut bahawa bantuan persekolahan ini semua adalah hasil daripada sumbangan jemaah SWADD yang tidak putus-putus menyumbang kepada SWADD tanpa bantuan dana daripada mana-mana pihak. Beliau menyatakan lagi, pihak SWADD bertanggungjawab memanjangkan sumbangan para jemaah sebagai amalan jariah mereka di akhirat nanti.

Selesai majlis perasmian, Puan Siti Suryati Abu Sujak berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada semua pelajar asnaf yang turut diiringi oleh Guru Besar di atas pentas. Majlis berakhir dengan sesi penyampaian plak SWADD kepada SK Kampung Bharu sebagai tanda perhargaan di atas kerjasama yang diberikan.