Pengenalan Wakaf

Wakaf berasal daripada perkataan Arab dan dari segi Bahasa ia bererti menahan (Ibn Manzur 1990). Manakala dari segi syarak, al-Mawardi mendefinisikannya sebagai menahan ‘ain (fizikal) harta dan melangsungkan manfaatnya. Al-Khatib al-Sharbini pula mendefinisikannya sebagai menahan suatu harta dengan dibolehkan pemanfaatnya beserta dengan dikekalkan ‘ainnya (Muhammad al-Zuhayli 2013)

Oleh yang demikian, wakaf bolehlah dirumuskan sebagai menahan harta daripada dijual beli, pewarisan, hibah dan wasiat. Fizikalnya wajib dikekalkan manakala manfaatnya boleh digunakan untuk kebajikan khusus atau umum bagi masyarakat dengan niat pewakaf mendekatkan diri kepada Allah SWT. Harta yang dwakafkan akan menjadi milik Allah SWT selama-lamanya.

Hukum Berwakaf

Amalan berwakaf merupakan satu ibadah yang sunat yang boleh mendekatkan diri individu muslim kepada Allah SWT (Wahbah al-Zuhayli 1989; Muhammad al-Zuhayli 2013). Ia adalah satu pelaburan yang membawa kepada keuntungan di akhirat di mana pewakaf akan mendapat pahala yang berterusan walaupun selepas kematiannya selagi harta yang diwakafkannya itu dimanfaatkan untuk kebaikan dan kebajikan ummah.

Dalil disunatkan berwakaf.

  1. Al-Quran :
    Firman Allah SWT yang bermaksud :
    “ Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu menginfaqkan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi, dan apa jua sesuatu yang kamu infaqkan itu, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentangnya.”

    (Ali Imran : 92)
     

  2. Hadis :
    Abu Hurairah RA telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud ;
    “Apabila seseorang anak Adam itu meninggak dunia maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.”
    (Riwayat Muslim)
     
  3. Sepakat Para Sahabat ;
    Para sahabat Rasulullah SAW telah bersepakat tentang pensyariatan wakaf. Tidak ada sebarang perselisihan pendapat dalam kalangan mereka tentang ini. Sebahagian mereka telah mempraktikkan amalan berwakaf. Jabir RA berkata : “Aku dapati tiada dalam kalangan para sahabat yang mempunyai kemampuan kecuali mereka berwakaf”. Imam As-Shafie pula menceritakan :”Telah disampaikan kepadaku bahawa seramai 80 orang dari golongan Ansar yang telah menginfaqkan harta mereka secara wakaf”
    (Muhammad Al-Zuhayli 2013)

    Peranan Wakaf dalam Sejarah Tamadun Islam

    Wakaf merupakan instrument penjanaan dan pengagihan kekayaan Islam yang distrukturkan dan ditadbir untuk memberi manfaat duniawi dan ukhrawi yang berterusan kepada seluruh masyarakat, baik kepada yang memberi mahupun yang menerima. Sejarah kegemilangan tamadun Islam pada kurun-kurun yang lalu telah membuktikan bahawa amalan berwakaf telah Berjaya membina kemajuan negara di samping menyemarakkan nilai-nilai ukhuwwah, kasih sayang dan rasa prihatin dalam kalangan masyarakat. Wakaf telah memainkan peranan yang penting menerusi potensinya dalam pembangunan ekonomi dan kebajikan negara-negara Islam sehingga ia dimanfaatkan untuk membina kemudahan-kemudahan rakyat termasuk hospital, sekolah, university, pusat perniagaan, jalan raya, jambatan, tempat perlindungan, masjid, bekalan tenaga, bekalan air dan sebagainya.

    Negara-negara yang majoritinya beragama islam seperti Malaysia sepatutnya memanfaatkan potensi wakaf bagi menjamin pembangunan ekonomi negara yang kukuh dan berkat secara menggembleng sepenuhnya potensi institusi wakaf, mengintegrasikannya langsung ke dalam proses membina negara demokrasi dan membangun ekonomi atas kadar pertumbuhan pesat, adil dan seimbang. Usaha ini dapat mengatasi impak negative kapitalisme, merapatkan jurang social golongan kaya dan miskin, mempertingkatkan kualiti modal insan, menanam rasa kepunyaan bersama, menyuburkan perpaduan rakyat dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Pembudayaan wakaf dan infaq dalam amalan masyarakat perlu dilakukan dan ia memerlukan penghayatan dari semua pihak serta pengemblengan daya kreatif inovasi wakaf dan menyesuaikannya dengan keperluan serta tuntutan hidup dalam era masa kini.