Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy

Tanpa sikap pemurah dan dermawan Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy (ADD), tidak mungkin sebuah Menara kebanggaan umat Islam kini tersergam di Jalan Perak.

Tanah di Lot 168 & 169 merupakan hartanah yang diwakafkann oleh Allahyarham ADD. Pada tahun 1940an, Allahyarham ADD memilih untuk menetap di Semenanjung Tanah Melayu setelah merantau berdekat di dunia. Fasih dalam pelbagai bahasa dana mat gemar pada kitab dan ilmu dengan rangkaian kenalan di merata dunia, beliau merupakan seorang hartawan dan ahli perniagaan yang sudah pun berjaya tatkala itu.

Beliau yang dilahirkan pada tahun 1907 di Gujerat, India telah menceburi bidang perniagaan dan telah mengumpul kekayaan hartanah dan saham. Dari awal lagi, beliau telah menginfaqkan hartanya melalui institusi wakaf. Institusi tersebut pada asalnya merupakan wakaf keluarga tetapi kemudiannya dinamakan Alwaqful Islamiul Alamee. Suratcara penubuhan wakaf ini telah diedarkan pada tahun 1971.

Dengan penampilan gaya hidup yang sederhana, kediaman beliau sehingga akhir hayat hanyalah sebuah flat di Masjid India yang dipenuhi dengan kitab-kitab serta majalah. Tiada siapa yang tahu warga tuan yang sering kelihatan di warung-warung persekitaran merupakan seorang dermawan yang murah hati.

Pada 24 Januari 1987, beliau telah kembali ke rahmatullah. Sebelum meninggal dunia, Allahyarham telah menyatakan hajat beliau untuk memberikan wakaf beliau yang terdiri daripada beberapa harta benda dan juga tabung dana kepada pihak penguatkuasa agama.

Harta beliau telah diserah hak kepada MAIWP melalui “vesting order” yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 September 1991 setelah beliau meninggal dunia dan mahkamah mendapati Allahyarham ADD tidak mempunyai waris.

Bermula dengan sikap dermawan dan pemurah Allahyarham ADD, ianya kini menjadi mercu tanda dan kebanggaan dan umat Islam. Pulangan yang diterima oleh MAIWP akan dipulangkan untuk manfaat asnaf dan ummah seluruhnya. Betapa besar manfaat yang diperolehi berpunca dari amalan wakaf Allahyarham ADD.

Selain tanah di Jalan Perak ini, MAIWP turut bertanggungjawab kepada hartanah Allahyarham iaitu 1 lot kedai di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur dan 3 buah rumah di sekitar Kuala Lumper. Di samping hartanah tersebut, MAIWP turut menjadi pemegang amanah kepada harta wakaf Allahyarham yang berbentuk saham dalam dan luar negeri.

Allahyarham ADD merupakan seorang yang rajin membaca. Beliau memiliki banyak koleksi buku di mana setelah beliau meninggal dunia MAIWP telah menyimpan sebanyak 1,077 buah buku dan kini disimpan di Perpustakaan Institut Profesional Baitulmal, Kampung Pandan.